×
CARI
PersoalanHidup.com
Tempat Selamat untuk Menjelajahi
 Soalan-soalan Mengenai Hidup dan Tuhan
Hubungan

Seks dan Pencarian Keintiman

Ketahui bagaimana untuk mencintai dan dicintai. Alami keintiman sebenar dalam hubungan anda…

WhatsApp Facebook Twitter Email PDF

Oleh Dr. Richard Purnell

Dr. Henry Brandt, dalam majalah Collegiate Challenge, mengatakan bahawa terdapat satu sindrom, satu corak, apabila beberapa pasangan datang kepadanya. Mereka berkata, "Pada mulanya, seks sangat mengujakan. Kemudian saya mula merasa pelik tentang diri saya, dan kemudian saya mula merasa pelik tentang pasangan saya. Kami bertengkar dan akhirnya kami berpisah. Sekarang kami menjadi musuh."

Sindrom ini saya panggil morning-after syndrome. Kami bangun dan mendapati bahawa keintiman sebenarnya tidak ada. Hubungan seksual tidak lagi memuaskan kami, dan apa yang kita dapatkan bukanlah apa yang kita inginkan pada awalnya. Semuanya hanyalah dua individu yang mementingkan diri sendiri demi mencari kepuasan peribadi. Unsur-unsur cinta sejati dan keintiman sejati tidak boleh diperoleh secara "segera," dan kita mendapati diri kita dalam keadaan tidak seimbang, mencari keharmonian.

Keintiman bermakna lebih daripada fizikal.

Setiap daripada kita mempunyai lima bahagian penting dalam hidup kita. Kita mempunyai fizikal, emosi, mental, sosial, dan rohani. Kelima-lima bahagian ini direka untuk berfungsi bersama dalam keharmonian. Dalam pencarian kita untuk keintiman, kita mahukan penyelesaian hari ini, atau kelmarin. Salah satu masalah kita ialah kita mahukan kepuasan "segera." Apabila keperluan untuk keintiman dalam hubungan tidak dipenuhi, kita mencari penyelesaian "segera." Di manakah kita mencari? Fizikal, mental, sosial, emosi atau rohani? Ia adalah fizikal. Lebih mudah untuk menjadi intim secara fizikal dengan seseorang berbanding menjadi intim dalam empat bahagian kehidupan kita yang lain. Anda boleh menjadi intim secara fizikal dengan seseorang berlawanan jantina dalam masa sejam, atau setengah jam -- ia hanya bergantung pada keinginan nafsu! Tetapi kemudiannya, anda akan mendapati bahawa seks mungkin hanya memberikan kelegaan sementara untuk keinginan secara luaran. Terdapat keperluan yang lebih mendalam yang masih belum dipenuhi.

Apakah yang anda lakukan apabila keseronokan hilang dan semakin kerap anda melakukan hubungan seks, semakin kurang anda menikmatinya? Kita cuba membuat alasan dengan mengatakan, "Kami bercinta. Tidak, maksud saya benar-benar bercinta." Tetapi kita masih mendapati diri sendiri merasa bersalah dan tidak puas hati. Di kampus-kampus di seluruh Amerika, saya melihat para lelaki dan para wanita mencari keintiman, berpindah dari satu hubungan ke hubungan lain dengan harapan, "Kali ini pasti akan berjaya. Kali ini saya akan menemui hubungan yang akan bertahan."

Saya percaya bahawa apa yang kita benar-benar inginkan bukanlah seks. Apa yang benar-benar kita mahukan ialah keintiman.

Hari ini, perkataan keintiman telah mengambil makna ungkapan seksual. Tetapi maknanya lebih mendalam daripada itu. Keintiman merangkumi semua dimensi kehidupan kita -- ya, bukan sahaja fizikal, tetapi juga aspek sosial, emosi, mental dan rohani. Keintiman sebenarnya bermakna perkongsian hidup sepenuhnya. Dan tidakkah kita semua pernah merasakan keinginan untuk mendampingi, untuk kebersamaan, untuk berkongsi hidup kita dengan seseorang secara sepenuhnya?

Ketakutan akan keintiman – takut untuk dicintai?

Marshall Hodge menulis sebuah buku berjudul 'Your Fear of Love'. Dalam bukunya, dia berkata, "Kita merindukan momen-momen ungkapan cinta, kedekatan dan kelembutan, tetapi seringkali, pada saat kritikal, kita sering mundur. Kita takut kepada kedekatan. Kita takut kepada cinta." Kemudian dalam buku yang sama Hodge menyatakan, "Semakin dekat anda dengan seseorang, semakin besar kemungkinan untuk tersakiti." Ketakutan akan kesakitan inilah yang sering menjauhkan kita daripada mencari keintiman sejati.

Saya pernah memberikan satu siri kuliah di sebuah universiti di Illinois selatan. Selepas salah satu pertemuan, seorang wanita datang kepada saya dan berkata, "Saya perlu bercakap dengan anda tentang masalah teman lelaki saya." Kami duduk, dan dia mula menceritakan masala yang dihadapinya. Setelah beberapa saat, dia membuat kenyataan ini: "Saya kini mengambil langkah-langkah agar tidak pernah terluka lagi." Saya berkata kepadanya, "Dengan kata lain, anda sedang mengambil langkah-langkah agar tidak pernah mencintai lagi." Dia berfikir bahawa saya salah faham, jadi dia meneruskan percakapannya. "Tidak, bukan itu yang saya maksudkan. Saya hanya tidak mahu terluka lagi. Saya tidak mahu merasa kesakitan dalam hidup saya." Saya berkata, "Betul, anda tidak mahu cinta dalam kehidupan anda." Cuba anda lihat, tidak ada yang namanya "cinta tanpa kesakitan." Semakin dekat kita dengan seseorang, semakin besar kemungkinan untuk disakiti.

Saya akan menganggarkan bahawa anda (dan sekitar 100 peratus daripada populasi) akan mengatakan bahawa anda pernah terluka dalam hubungan sebelum ini. Persoalannya adalah, bagaimana anda berhadapan dengan kesakitan itu? Untuk menyembunyikan kesakitan tersebut, ramai antara kita memberikan orang apa yang saya panggil sebagai "tanda dua kali." Kita berkata kepada seseorang, "Lihat, saya mahu anda mendekati saya. Saya mahu mencintai dan dicintai... tapi tunggu sekejap, sebelum ini saya pernah terlukai. Tidak, saya tidak mahu bercakap mengenai hal ini. Saya tidak mahu mendengar hal tersebut." Kita membina tembok-tembok pada hati kita untuk melindungi diri daripada orang luar yang cuba masuk ke dalam untuk menyakiti kita. Tetapi tembok yang sama yang menghalang orang luar, menjebak kita di dalam. Akibatnya? Kesunyian memasuki diri dan menyebabkan keintiman serta cinta sejati menjadi mustahil.

Apa itu cinta?

Cinta merupakan sesuatu yang lebih daripada emosi, dan cinta lebih daripada perasaan yang menyenangkan. Tetapi masyarakat kita telah mengambil apa yang Tuhan katakan tentang cinta, seks dan keintiman dan mengubahnya menjadi sekadar emosi dan perasaan. Tuhan menerangkan cinta dengan terperinci dalam Alkitab, terutamanya dalam (1 Korintus: 13). Supaya anda dapat memahami sepenuhnya definisi cinta dari Tuhan, biar saya bentangkan ayat empat hingga ayat tujuh dengan cara ini. Betapa besarnya cinta yang memenuhi keperluan anda jika seseorang mencintai kita sebagaimana kita sepatutnya dicintai seperti yang dikatakan oleh Tuhan:

  • jika orang ini membalas anda dengan kesabaran, kebaikan, dan tidak iri hati terhadap anda?
  • jika orang ini tidak bermegah diri atau sombong?
  • bagaimana jika orang ini tidak bersikap kasar kepada anda atau mementingkan diri sendiri atau mudah marah?
  • bagaimana jika orang ini tidak menyimpan rekod akan kesalahan yang anda lakukan?
  • bagaimana jika mereka menolak untuk menipu, dan selalu jujur dengan anda?
  • bagaimana jika orang ini melindungi anda, mempercayai anda, sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk anda, dan bersabar ketika menghadapi konflik dengan anda?

Inilah cara Tuhan mendefinisikan cinta yang Dia mahu kita alami dalam hubungan. Anda akan perhatikan bahawa cinta seperti ini mengutamakan “orang lain”. Ia adalah memberi, bukan mementingkan diri sendiri. Dan di situlah masalahnya. Siapa yang boleh hidup sesuai dengan ini?

Untuk keintiman sebenar, kita perlu merasa dicintai terlebih dahulu.

Untuk kita mengalami cinta seperti ini dalam hubungan, kita perlu terlebih dahulu mengalami cinta Tuhan untuk kita. Anda tidak boleh secara konsisten menunjukkan cinta seperti ini kepada seseorang jika anda tidak pernah mengalami percintaan dengan cara ini. Tuhan, yang mengenal anda, yang tahu segala-galanya tentang anda, mencintai anda dengan sempurna sekali.

Tuhan memberitahu kita melalui nabi terdahulu, Yeremia, "Aku telah mengasihi engkau dengan kasih yang kekal, sebab itu Aku menuntun engkau dengan kasih abadi."1 Jadi cinta Tuhan untuk anda tidak akan pernah berubah.

Tuhan sangat mengasihi kita sehingga Dia mengizinkan Yesus Kristus disalibkan (satu bentuk hukuman mati zaman dahulu) untuk membersihkan dosa-dosa kita supaya kita disucikan. Kita membaca dalam Alkitab, "Tuhan begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anaknya yang tunggal supaya orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal."2 Apabila kita berpaling kepada Tuhan dan menerima pengampunan-Nya, kita mula mengalami kasih-Nya.

Tuhan memberitahu kita, "Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Tuhan, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil dan menyucikan kita daripada segala kesalahan."3 Bukan sahaja Tuhan mengampuni dosa kita, tetapi Dia melupakannya dan membersihkan kita.

Bagaimana rasanya dicintai seperti ini?

Tuhan terus mengasihi kita tidak kira apa pun. Sering kali, hubungan berakhir apabila sesuatu dalam hubungan tersebut berubah, seperti kemalangan yang mencelakakan atau kehilangan kedudukan kewangan. Tetapi cinta Tuhan tidak berdasarkan penampilan fizikal kita, apa kita atau siapa pun kita.

Seperti yang anda lihat, pandangan Tuhan tentang cinta sangat berbeza dari apa yang masyarakat katakan tentang cinta. Bolehkah anda bayangkan hubungan dengan cinta seperti ini? Tuhan dengan jelas memberitahu kita bahawa pengampunan dan cinta-Nya adalah milik kita jika kita meminta. Cinta adalah hadiah-Nya untuk kita. Tetapi jika kita menolak hadiah itu, kitalah yang menghalang diri kita daripada menemukan kepuasan sejati, keintiman sejati dan tujuan hidup yang sejati.

Kasih Tuhan menyediakan jawapannya. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah meresponi dengan iman dan ketekunan. Alkitab berkata tentang Yesus: "Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Tuhan kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya."5 Tuhan mengutus Anak-Nya yang tunggal, Yesus, untuk mati bagi pihak kita. Tetapi cerita tidak berakhir di situ sahaja. Tiga hari kemudian, Yesus bangkit dari kematian. Sebagai Tuhan, Dia hidup hari ini dan ingin meletakkan Kasih-Nya dalam hati anda. Sebaik sahaja anda menerima-Nya, anda akan terkagum dengan apa yang Dia dapat lakukan dalam hidup anda dan dalam hubungan percintaan anda.

Firman Tuhan memberitahu kita, "Sesiapa yang percaya kepada Anak itu mendapat hidup yang kekal. Sesiapa yang tidak taat kepada-Nya tidak akan mendapat hidup yang kekal itu dan kemurkaan yang kekal ke atasnya."5 Apa yang Tuhan inginkan untuk kita adalah memiliki hidup, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk selama-lamanya. Jika kita memilih untuk menolak-Nya, maka kita telah memilih akibat daripada dosa, iaitu kematian dan perpisahan kekal dari-Nya.

Penerimaan Yesus Kristus, menerima-Nya dalam hidup kita dan mempercayai-Nya, membawa hidup kita ke dalam keharmonian. Iman kepada-Nyalah yang memberikan pengampunan. Tidak perlu lagi bersembunyi, dan tidak lagi mengikuti keinginan diri sendiri. Dia ada bersama kita. Kita mempunyai kedamaian bersama-Nya.

Selepas kita meletakkan iman dan kebergantungan kita kepada-Nya, Dia tinggal dalam hidup kita dan kita mempunyai keintiman dengan-Nya. Pengampunan-Nya akan membersihkan kita dari dosa yang paling dalam, sikap mementingkan diri yang paling dalam, masalah atau dugaan yang paling dalam yang pernah kita alami ataupun yang akan kita alami.

Dalam Alkitab, sikap Tuhan terhadap seks sangat jelas. Tuhan telah meletakkan seks hanya untuk perkahwinan sahaja. Bukan kerana Dia mahu membuatkan kita menderita, tetapi kerana Dia mahu melindungi hati kita. Dia mahu membina asas yang kukuh untuk kita, supaya apabila kita memasuki perkahwinan, keintimannya dapat didasarkan pada cinta dan hikmat Tuhan.

Keintiman timbul dari rasa aman dan dicintai.

Apabila kita mempercayakan diri kita kepada Yesus Kristus, Dia memberi kita cinta dan kekuatan baru hari demi hari. Di sinilah keintiman yang kita cari dapat dipenuhi. Tuhan memberi kita cinta yang tidak akan berhenti, dan tidak akan berhenti walaupun usia bertambah dan waktu berubah. Kasih-Nya dapat menyatukan dua orang, dengan Dia di pusat hubungan tersebut. Dalam hubungan percintaan, ketika bertumbuh bersama, bukan hanya secara rohani, tetapi juga secara sosial, mental dan emosional, anda dapat memiliki hubungan yang jujur, tidak mementingkan diri dan intim yang memuaskan dan mengagumkan! Dan apabila hubungan itu mencapai perkahwinan, ikatan seksual hanya dapat meningkatkan asas yang telah dibina.

Dalam mana-mana hubungan kita, mengetahui bahawa kita dicintai oleh Tuhan, mampu menyebabkan kita mencintai orang lain dengan lebih tulus. Kita tidak akan kekurangan secara emosi. Kecemburuan, kepahitan, dan ketidakjujuran yang terjadi dalam begitu banyak hubungan percintaan bukanlah satu-satunya pilihan kita. Kita mendapati bahawa kita bergantung kepada hal tersebut. Sebaliknya, kita mampu menanganinya dengan bersikap jujur, dan bahkan memaafkan kesalahan yang berlaku. Ringkasnya, ketika kita mengalami kasih Tuhan, kasih itu mendorong kita ke arah cara yang berbeza untuk menjalinkan hubungan dengan orang lain.

Adakah anda ingin mengenal Tuhan dan membiarkan-Nya memimpin anda dalam hidup dan hubungan anda?

Anda boleh menerima Kristus sekarang dengan iman melalui doa. Doa adalah bercakap dengan Tuhan. Tuhan mengetahui isi hati anda dan lebih mementingkan sikap hati anda berbanding kata-kata anda.

Berikut adalah doa yang dicadangkan:

"Tuhan Yesus, saya memerlukan Engkau. Terima kasih kerana mati di atas kayu salib untuk dosa-dosa saya. Saya membuka pintu hati saya dan menerima Engkau sebagai Penyelamat dan Tuhan saya. Terima kasih kerana mengampuni dosa-dosa saya dan memberikan saya hidup yang kekal. Ambillah takhta hidupku dan jadikan aku seperti yang Engkau inginkan."

Adakah doa ini menyatakan keinginan hati anda? Jika ya, berdoalah seperti ini sekarang. Meletakkan iman anda kepada Kristus akan memperlihatkan kehadiran-Nya dalam hidup anda seperti yang Dia janjikan. Ini akan memulakan hubungan dengan-Nya yang akan menjadi lebih intim ketika anda mengenal-Nya dengan lebih baik. Dengan berpusatkan Dia dalam kehidupan anda, anda akan mengalami hidup baru-- kehidupan rohani -- membawa lebih banyak keharmonian dan kepuasan kepada semua hubungan anda.

Mengetahui dan mengalami Kasih Tuhan untuk anda, anda akan dapat mengasihi orang lain dengan kasih Tuhan, yang membawa kepada tahap keintiman yang lebih mendalam dan sebenar.

 Saya baru sahaja menerima Yesus dalam hidup saya (maklumat berguna berikut)…
 Bagaimana memulakan hubungan dengan Tuhan
 Saya mempunyai soalan…

Nota Kaki: (1) Yeremia 31:3 (2) Yohanes 3:16 (3) 1 Yohanes 1:9 (4) Yohanes 1:12 (5) Yohanes 3:36

© Dr. Richard Purnell. Dr. Richard Purnell telah bercakap kepada pelajar di lebih 450 kampus universiti dan kolej. Beliau adalah pengarang 12 buku, termasuk Becoming a Friend and Lover dan Free to Love Again: Coming to Terms with Sexual Regret.


KONGSI HALAMAN INI
WhatsApp Facebook Twitter Email