×
CARI
PersoalanHidup.com
Tempat Selamat untuk Menjelajahi
 Soalan-soalan Mengenai Hidup dan Tuhan
Mengenal Tuhan

Siapakah Yesus?

Sekilas tentang kehidupan Yesus Kristus, dari Alkitab.

WhatsApp Facebook Twitter Email PDF

Berikut ini memberi anda pandangan sekilas tentang kehidupan Yesus Kristus. Ini adalah kutipan langsung dari Injil Yohanes, dalam Alkitab. Tanpa tambahan ulasan. Mereka akan memberi anda bacaan yang tepat dan pantas tentang kehidupan, kematian, dan kebangkitan Yesus…dan mengapa hidup-Nya memberi impak bagi anda."

Yohanes 3
Ada seorang bernama Nikodemus, seorang pemimpin agama Yahudi yang merupakan seorang Farisi. Pada suatu malam, dia datang untuk bercakap dengan Yesus. "Rabi," katanya, “Rabbi, kami tahu bahawa Engkau guru yang datang daripada Tuhan. Tidak mungkin seseorang melakukan mukjizat seperti yang Kaulakukan kecuali Tuhan menyertai-Nya.”

Yesus menjawab, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan semula, dia tidak dapat melihat kerajaan Tuhan.”

"Apa maksud-Mu?" seru Nikodemus. “Bagaimana seorang dewasa mungkin dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan sekali lagi!”

Yesus menjawab,“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kecuali seseorang dilahirkan daripada air dan Roh Kudus, dia tidak akan masuk ke dalam kerajaan Tuhan. Yang dilahirkan manusia ialah manusia, dan yang dilahirkan Roh ialah roh. Janganlah hairan akan kata-kata-Ku bahawa kamu semua perlu dilahirkan semula. 8Angin bertiup semahunya. Kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya. Demikianlah juga dengan orang yang dilahirkan oleh Roh Kudus.”

"Bagaimana mungkin hal-hal ini terjadi?" tanya Nikodemus.

Yesus menjawab,“Kamu pengajar bangsa Israel dan kamu tidak mengetahui hal ini? Tiada seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Setiap orang yang percaya kepada-Nya akan memperoleh hidup yang kekal."

Kerana Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Ia mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal. Tuhan mengutus Anak-Nya ke dalam dunia bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya melalui Dia. Tidak ada penghukuman bagi orang yang percaya kepada-Nya. Tetapi siapa saja yang tidak percaya telah dihukum karena tidak percaya kepada Anak Tuhan yang tunggal.

Yohanes 1
Pada permulaan sudah wujud Firman, dan Firman itu bersama Tuhan dan Firman itu ialah Tuhan.
Dia bersama Tuhan pada permulaan. Segala-galanya diciptakan melalui Dia. Daripada segala yang wujud, tiada suatu pun yang dicipta tanpa-Nya.
Hidup ada dalam-Nya, dan hidup itu cahaya manusia. Dan cahaya itu bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak menguasainya.

Dia berada di dunia, dan dunia telah dicipta melalui-Nya, namun manusia di dunia tidak mengenal-Nya. Dia datang kepada milik-Nya sendiri, tetapi milik-Nya tidak menerima-Nya. Namun demikian, Dia memberikan hak menjadi anak Tuhan kepada mereka yang menerima-Nya dan percaya dalam nama-Nya. Kelahiran mereka bukan melalui darah keturunan, atau kehendak manusia, atau kemahuan seorang lelaki, tetapi kerana perbuatan Tuhan.

Firman itu menjadi manusia dan hidup dalam kalangan kita. Kita telah melihat kemuliaan-Nya sebagai Anak Tunggal yang datang daripada Bapa, penuh dengan kasih kurnia dan kebenaran.

Yohanes 5
Di setiap serambi itu ramai orang sakit dan cacat berbaring — ada yang buta, ada yang tempang dan ada yang lumpuh — menunggu air kolam itu berkocak. Sekali-sekala malaikat Tuhan akan turun mengocak air kolam itu. Sesiapa yang pertama masuk ke dalam kolam itu ketika airnya berkocak akan sembuh daripada penyakitnya. Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang telah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus melihatnya terbaring di situ dan mengetahui bahawa dia telah sakit demikian lamanya.

Yesus berkata kepadanya, “Bangun, angkat tikarmu, dan berjalanlah.”

Serta-merta orang itu sembuh lalu mengangkat tikarnya dan berjalan.Oleh yang demikian, orang Yahudi berkata kepada orang yang disembuhkan itu, “Ini hari Sabat. Kamu melanggar hukum kerana mengangkat tikar.”

Orang itu menjawab, “Orang yang menyembuhkanku tadi menyuruh aku mengangkat tikar dan berjalan.”

Mereka pun bertanya,“Siapakah Dia yang menyuruhmu mengangkat tikar dan berjalan itu?”. Orang itu kemudiannya memberitahu orang Yahudi bahawa Yesuslah yang telah menyembuhkannya.

Dengan demikian, orang Yahudi mula memusuhi Yesus kerana menyembuhkan orang pada hari Sabat.Namun demikian, Yesus berkata kepada mereka, “Bapa-Ku masih bekerja hingga sekarang, maka begitulah juga Aku.”

Kata-kata-Nya ini mengukuhkan lagi niat orang Yahudi hendak membunuh-Nya. Bukan sahaja Dia melanggar hukum hari Sabat, malah juga mengatakan Tuhan itu Bapa-Nya, iaitu menyamakan diri-Nya dengan Tuhan.

Yohanes 6
Apabila Yesus memandang sekeliling dan melihat ramai orang datang ke arah-Nya, Dia berkata kepada Filipus, “Dari manakah dapat kita beli makanan untuk semua mereka ini?” (Sebenarnya Yesus bertanya itu untuk menduga Filipus sahaja kerana Dia tahu apa yang akan dilakukan-Nya.)

Filipus menjawab, “Roti yang berharga dua ratus dinar pun tidak cukup, meskipun jika dibahagi secebis seorang.”

Seorang lagi murid Yesus yang bernama Andreas, saudara Simon Petrus, berkata kepada-Nya, “Ada seorang budak di sini yang mempunyai lima buku roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi tidak mungkin akan cukup untuk orang seramai ini!”

Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Ajaklah mereka duduk.” (Di situ ada banyak rumput.) Mereka itu pun duduk, kira-kira lima ribu orang lelaki semuanya. Yesus mengambil roti itu lalu mengucap syukur kepada Tuhan. Selepas itu, Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada mereka yang duduk di sini. Kemudian Dia membahagi-bahagikan ikan itu pula sebanyak yang dikehendaki mereka.

Setelah kenyang semuanya, Yesus berkata kepada murid-murid-Nya, “Kumpulkanlah baki makanan, jangan ada yang terbuang.” Lalu mereka mengumpulkannya dan mengisi dua belas bakul baki makanan daripada lima buku roti barli yang dimakan oleh orang ramai itu.

“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu mencari-Ku bukan kerana kamu telah melihat tanda-tanda mukjizat, tetapi kerana kamu telah dapat makan sehingga kenyang. Janganlah berusaha mendapatkan makanan yang boleh basi. Berusahalah mendapatkan makanan yang dapat bertahan sampai hidup kekal. Itulah makanan yang akan diberikan kepadamu oleh Anak Manusia, kerana Tuhan Bapa telah memateraikan-Nya.”

Mereka bertanya kepada-Nya, “Apakah yang mesti kami buat untuk melaksanakan pekerjaan yang dikehendaki Tuhan?”

Jawab Yesus kepada mereka, "Inilah pekerjaan yang dikehendaki Tuhan, yaitu hendaklah kamu percaya kepada Dia yang telah diutus Tuhan."

“Akulah roti hidup itu. Sesiapa yang datang kepada-Ku tidak akan lapar lagi, dan sesiapa yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga lagi.

Telah Kukatakan kepadamu, bahawa kamu telah melihat-Ku, namun tidak percaya kepada-Ku. Semua yang diberikan kepada-Ku oleh Bapa akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak seorang pun yang datang kepada-Ku. Aku turun dari syurga bukanlah untuk melakukan kehendak-Ku sendiri tetapi kehendak Dia yang mengutus-Ku. Inilah kehendak Dia yang mengutus-Ku: Daripada semua yang diberikan kepada-Ku, tiada seorang pun yang keciciran tetapi akan Kubangkitkan kesemuanya pada hari akhir.

Yohanes 7
Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum. Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.’ ” (Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Roh Kudus yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Kudus belum dikurniakan, kerana Yesus belum dimuliakan.)

Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, “Sudah tentu orang inilah Nabi itu!”Ada pula yang berkata, “Dialah Kristus yang diutus oleh Tuhan.”

Yohanes 10
Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.

Yesus bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.Oleh yang demikian, Yesus berkata,

“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu. Orang yang datang sebelum Aku ialah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka. Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput. Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.

“Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku, sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.”

“Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti. 18Sesiapa pun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula.

Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.”

Yohanes 11

Seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Betania bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maria dan Marta. Maria, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Tuhan dan menyapunya dengan rambutnya. Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, dia yang Kaukasihi itu sakit.”
Apabila menerima berita itu, Yesus berkata, “Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Tuhan. Disebabkan kejadian ini Anak Tuhan akan dimuliakan.”
Yesus mengasihi Marta, Maria dan Lazarus. Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.

Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, “Marilah kita pulang ke Yudea.”
Para murid-Nya menjawab, “Rabbi, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?”

Kemudian Yesus menambah, “Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya.”

Para murid Yesus berkata, “Tuhan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh.”
Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi murid-murid-Nya mengambil erti tidur yang biasa. Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka dengan jelas, “Lazarus sudah meninggal.”

Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam. Marta berkata kepada Yesus, “Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup! Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Tuhan.”

Yesus berkata kepada Marta, “Saudaramu akan hidup kembali.”

Marta menjawab, “Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir.”

Yesus berkata kepada Marta, “Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?”

Marta menjawab, “Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Tuhan, yang diutus oleh Tuhan, dan yang akan datang ke dunia ini.”

Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, “Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!”

Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu. Dia bertanya kepada mereka, “Di manakah kamu letakkan dia?”

Mereka menjawab, “Marilah lihat, ya Tuhan.”

Yesus menangis. Semua orang Yahudi yang hadir berkata, “Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus.”

Namun demikian, ada yang berkata, “Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?”

Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.

Yesus berkata, “Alihkan batu itu.”

Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, “Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau.”

Yesus berkata kepada Marta, “Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Tuhan?”

Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, “Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku.”

Selepas itu, Yesus berseru lantang, “Lazarus, keluar!” Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, “Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia.” Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maria dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus terus percaya kepada-Nya.

Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Yesus.

Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat! Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya.

Yohanes 12
Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Yesus. Namun demikian, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah. Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Tuhan.

Yohanes 13
Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir.
Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus.

Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku.”

Yohanes 14
[Yesus berkata] “Janganlah resah hatimu. Percayalah kepada Tuhan dan percayalah juga kepada-Ku. Di dalam rumah Bapa-Ku ada banyak tempat tinggal. Jika hal ini tidak benar, tidaklah Kukatakan kepadamu. Aku akan pergi menyediakan tempat untukmu. Jika Aku pergi dan menyediakan tempat untukmu, Aku akan pulang dan membawamu ke tempat-Ku, supaya di tempat Aku berada di situ juga kamu berada.”

Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat-Ku lagi, tetapi kamu akan melihat-Ku. Oleh sebab Aku hidup, kamu juga akan hidup. Setelah tiba hari itu, kamu akan tahu bahawa Aku di dalam Bapa, kamu di dalam-Ku, dan Aku juga di dalammu.
Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintah-perintah-Ku, mengasihi-Ku. Sesiapa yang mengasihi-Ku akan dikasihi oleh Bapa-Ku, dan Aku juga akan mengasihinya serta memperlihatkan diri-Ku kepadanya.”

Yohanes 15
[Yesus berkata] “Sebagaimana Bapa mengasihi-Ku, demikianlah juga Aku mengasihimu. Tetaplah dalam kasih-Ku. Jika kamu menurut perintah-Ku, kamu akan tetap dalam kasih-Ku; sebagaimana Aku menurut perintah Bapa dan tetap dalam kasih-Nya.”

Aku berkata demikian kepadamu supaya kebahagiaan-Ku ada dalam dirimu dan sempurnalah kebahagiaanmu.”

Inilah perintah-Ku: “Kasihilah sesama sendiri, seperti Aku mengasihimu. Tiada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang mengorbankan nyawanya untuk sahabatnya.”

“Jika dunia membencimu, ketahuilah, dunia telah membenci-Ku terlebih dahulu. Andainya kamu milik dunia, maka dunia akan mengasihimu seperti kepunyaannya sendiri. Tetapi Aku telah memilihmu dan kamu bukan lagi milik dunia. Maka itulah dunia membencimu. Ingatlah apa yang telah Kukatakan kepadamu, ‘Seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya.’ Jika mereka menganiaya-Ku, mereka akan menganiayamu juga. Jika mereka menurut kata-kata-Ku, mereka akan menurut kata-katamu juga. Semua itu akan dilakukan mereka terhadapmu, kerana nama-Ku, dan mereka tidak mengenal Dia yang mengutus-Ku. Kalaulah Aku tidak datang dan bercakap kepada mereka, tidaklah mereka berdosa. Tetapi sekarang mereka tidak mempunyai alasan bagi dosa mereka. Sesiapa yang membenci-Ku, membenci Bapa-Ku juga. Sekiranya Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di hadapan mata mereka, mereka tidaklah berdosa. Tetapi mereka telah melihat sendiri apa yang Kulakukan dan mereka tetap membenci-Ku dan Bapa-Ku. Hal ini semestinya begitu, supaya berlaku apa yang tersurat dalam Taurat mereka: ‘Mereka membenci-Ku tanpa alasan.’

Yohanes 16
[Yesus berkata] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersuka ria. Kamu akan bersedih, namun kesedihanmu akan berubah menjadi kegembiraan. Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, dia menderita kesakitan kerana masanya sudah tiba. Tetapi sebaik sahaja anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita kerana seorang anak telah lahir ke dunia. Begitulah juga kamu bersedih sekarang, tetapi Aku akan menemui kamu lagi. Hatimu akan dipenuhi kegembiraan, yang tidak dapat diragut oleh sesiapa pun.Pada ketika itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa sahaja yang kamu minta dalam nama-Ku, Bapa akan mengurniakannya kepadamu. Hingga saat ini belum pernah kamu minta sesuatu dalam nama-Ku. Mintalah, kamu akan menerimanya dan sempurnalah kegembiraanmu.”

“Aku telah mengatakan semua ini kepadamu secara kiasan. Tetapi akan sampai ketikanya Aku tidak lagi menggunakan kiasan; Aku akan berterus terang kepadamu tentang Bapa. Pada hari itu, kamu akan meminta dalam nama-Ku. Aku tidak berkata Aku akan meminta kepada Bapa bagi pihakmu. Bapa sendiri mengasihimu, kerana kamu mengasihi-Ku dan percaya Aku datang daripada Bapa. Aku memang berasal daripada Bapa dan datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini dan pulang semula kepada Bapa.”

Yohanes 17
Setelah itu, Yesus menengadah ke langit lalu berkata,

“Bapa, sudah sampailah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak-Mu dapat memuliakan Bapa. Engkau telah memberi Anak-Mu kekuasaan ke atas umat manusia, supaya Dia pun memberikan hidup kekal kepada setiap orang yang telah Kauserahkan kepada-Nya. Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Kauutus.

Aku telah memuliakan-Mu di bumi ini dengan menyempurnakan kerja yang Kauamanahkan kepada-Ku. Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Kumiliki bersama-Mu sebelum dunia ini diwujudkan.

Semua ini Kukatakan ketika Aku masih di dunia, supaya kebahagiaan-Ku dapat dialami mereka sepenuhnya. Setelah Kusampaikan firman-Mu kepada mereka, dunia membenci mereka kerana mereka bukan dari dunia ini, seperti Aku juga bukan dari dunia ini.

Aku bukan berdoa untuk mereka sahaja tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui kata-kata mereka.

Bapa Yang Maha Benar! Dunia tidak mengenal-Mu, namun Aku mengenal-Mu, dan kesemua mereka ini tahu bahawa Engkaulah yang telah mengutus-Ku. Aku telah menyatakan nama-Mu kepada mereka. Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku bertapak kukuh dalam hati mereka dan supaya Aku di dalam mereka.”

Yohanes 18
Setelah berdoa demikian, Yesus pergi diiringi murid-murid-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di sana ada sebuah taman. Yesus dan murid-murid-Nya masuk ke taman itu. Yudas, yang mengkhianati Yesus, mengetahui tempat itu juga kerana Yesus kerap ke situ dengan murid-murid-Nya. Dengan demikian, Yudas pergi ke situ membawa sepasukan askar dan sebilangan pegawai, ketua imam serta orang Farisi. Mereka membawa lantera, suluh serta senjata.

Yesus mengetahui segala yang akan terjadi ke atas-Nya. Dia pun mendekati mereka lalu bertanya, “Siapakah yang kamu cari?”

Mereka menjawab, “Yesus orang Nazaret.”

Yesus berkata kepada mereka, “Akulah Dia.”

Yudas, yang mengkhianati Yesus, berdiri bersama mereka di situ. Setelah itu, askar-askar dengan ketua mereka dan pegawai-pegawai Yahudi menangkap dan mengikat Yesus.

Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?”

Mereka menjawab, "Jika orang ini tidak melakukan kejahatan, tentu kami tidak menyerahkannya kepadamu."

Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah Dia dan adili Dia mengikut undang-undangmu.”

Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.”

Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Yesus tentang cara kematian-Nya.

Yohanes 19
Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah. Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat Raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya.

Pilatus kemudian keluar lagi dan berkata kepada mereka, "Lihatlah, Aku membawa Dia ke luar kepadamu supaya kamu tahu, bahwa Aku tidak menemui kesalahan apa pun pada-Nya."

Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!”
Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!”

Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.”

Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Tuhan.”

Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. 9Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Dari manakah Kamu ini?”

Tetapi Yesus tidak menjawab.

Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?”

Yesus menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.”

Pilatus berusaha membebaskannya, tetapi orang-orang Yahudi berteriak, "Jauhkan Dia, jauhkan Dia! Salibkan Dia!"

Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalib.

Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi.Yesus pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota. Di situ mereka menyalib Yesus, bersama-sama dua orang lain di kiri dan kanan-Nya dan Yesus di tengah.
Selepas itu, Yesus mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, lalu berkata, “Aku dahaga.”

Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah span dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas batang hisop dan mencecahkannya ke mulut Yesus. Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai.” Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya.

Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi.

Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Yesus itu, seorang demi seorang. Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya. Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air.

Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Yesus. Yusuf ialah seorang murid Yesus secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi. Dengan izin Pilatus, maka dia datang dan mengambil jenazah Yesus. Nikodemus, yang pernah mendapatkan Yesus pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan mir dan gaharu sebanyak kira-kira tujuh puluh lima paun. Mereka mengambil jenazah Yesus lalu mengafankannya dengan kain linen dan ramuan rempah mengikut adat pengebumian orang Yahudi. Di sebuah taman di tempat Yesus disalib terdapat sebuah makam yang belum pernah digunakan. Oleh sebab makam itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Yesus ke dalamnya.

Yohanes 20
Pada awal pagi hari pertama minggu itu, ketika masih gelap lagi, Maria Magdalena pergi ke makam itu. Dia mendapati batu penutup telah digulingkan dari lubang makam itu. Dia pun berlari mencari Simon Petrus dan murid lain yang dikasihi oleh Yesus lalu berkata, “Jenazah Tuhan telah diambil dari makam, entah ke mana dialihkan.”

Petrus dan murid lain itu pun pergi ke makam. Kedua-duanya berlari, tetapi murid lain itu berlari mendahului Petrus dan tiba di makam itu lebih dahulu. Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ tetapi tidak masuk ke makam itu.

Apabila Simon Petrus yang menyusul murid lain itu tiba, dia terus masuk ke dalam makam itu dan nampak kain linen terletak di situ. Dia juga melihat kain kafan linen yang diikatkan pada kepala Yesus, terlipat berasingan. Kemudian, murid lain yang sampai dahulu di kubur itu pun masuk. Dia melihat segala-galanya lalu percaya. Setakat itu mereka belum memahami apa yang tersurat dalam Kitab Suci, iaitu Dia harus bangkit daripada kematian. Selepas itu, murid-murid Yesus itu pun pulang ke rumah mereka.

Tetapi Maria berdiri di hadapan makam itu sambil menangis. Kemudian sambil menangis dia menjenguk ke dalam. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki.

Malaikat-malaikat itu bertanya kepada Maria, “Puan, mengapa menangis?”

Maria menyahut, “Jenazah Tuhanku telah diambil, entah ke mana dialihkan!”

Kemudian Maria menoleh lalu melihat Yesus berdiri di situ, tetapi Maria tidak mengenal-Nya.

Yesus berkata kepada Maria, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang kamu cari?”

Pada sangkaan Maria, Dia tukang kebun di taman itu. Dengan demikian Maria berkata, “Tuan, jika kamu telah mengalihkan jenazah Yesus, beritahulah aku di mana kamu letakkan-Nya, supaya dapat kuambil jenazah-Nya.”

Yesus berkata kepadanya, “Maria!”

Maria berpaling kepada Yesus lalu berseru dalam bahasa Ibrani, “Rabboni!” (ertinya “Guru”).

Yesus berkata kepadanya, “Jangan berpaut pada-Ku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada murid-murid-Ku, katakan kepada mereka bahawa sekarang Aku akan kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, Tuhan-Ku dan Tuhanmu.”

Maria Magdalena pun pergi mendapatkan para murid Yesus lalu memberitahu, “Aku telah melihat Tuhan.”

Pada hari minggu itu, setelah petang, para murid Yesus berhimpun di sebuah rumah dengan pintu terkunci kerana takut akan orang Yahudi. Yesus berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!”

Selepas itu, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka, maka murid-murid itu pun bersukacita melihat Tuhan. Yesus berkata lagi kepada mereka, “Damai sejahtera kepada kamu! Sebagaimana Bapa mengutus-Ku, begitulah Aku mengutusmu.” Kemudian Dia menghembuskan nafas-Nya ke atas mereka lalu berddkata, “Terimalah Roh Kudus.”

Tomas yang digelar Didimus, seorang daripada murid Yesus yang dua belas itu, tidak ada bersama mereka apabila Yesus datang. Oleh itu, murid-murid lain memberitahu Tomas, “Kami telah melihat Tuhan!”

Tetapi Tomas berkata, “Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.”

Seminggu selepas itu, para murid Yesus termasuk Tomas berhimpun lagi di situ. Sungguhpun pintu terkunci seperti dahulu, Yesus muncul dalam kalangan mereka lalu berkata, “Damai sejahtera kepada kamu!”

Setelah itu, Dia berkata kepada Tomas, “Hulurkan jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkan tanganmu dan masukkannya ke dalam rusuk-Ku. Jangan ragu-ragu lagi. Percayalah.”

Tomas pun berkata kepada Yesus, “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!”

Yesus berkata kepadanya, “Tomas, oleh sebab kamu telah melihat-Ku maka kamu percaya. Diberkatilah orang yang percaya walaupun tidak melihat-Ku!”

 Bagaimana memulai sebuah hubungan dengan Tuhan
 Saya mempunyai soalan…

KONGSI HALAMAN INI
WhatsApp Facebook Twitter Email