×
CARI
PersoalanHidup.com
Tempat Selamat untuk Menjelajahi
 Soalan-soalan Mengenai Hidup dan Tuhan
Mengenal Tuhan

Bagaimana Rasanya Mengenal Tuhan?

Kita tidak seharusnya menjalani kehidupan bersendirian. Berikut adalah apa yang Tuhan tawarkan kepada kita dan bagaimana rupa mempunyai hubungan dengan Tuhan…

WhatsApp Facebook Twitter Email PDF

Oleh Marilyn Adamson

J.I. Packer menyatakan dengan baik, "Kita adalah kejam terhadap diri sendiri sekiranya kita mencuba untuk hidup di dunia ini tanpa mengetahui tentang Tuhan yang menciptakan dunia ini dan yang mengendalikannya."1

Ketika saya seorang ateis, saya ingin mencari satu falsafah, satu pendekatan tentang hidup yang boleh digunakan dalam segala keadaan. Saya fikir jika saya menemui sebab yang benar untuk hidup, matlamat yang cukup kuat atau pendekatan yang telah diuji dan berkesan, saya akan mampu mengatasi apa sahaja. Saya boleh menjadi sangat berkemampuan.

Saya mencari ini dengan tekun. Saya mengkaji sesebuah falsafah sehingga saya memahaminya. Kemudian saya akan mencubanya. Saya menguji pelbagai falsafah dan mendapati setiap satunya sama ada tidak realistik atau tidak mencukupi.

Saya tidak sedar bahawa apa yang saya perlukan sebenarnya adalah seorang peribadi untuk berjalan melalui kehidupan bersama saya. Seseorang yang tanpa had, tanpa kegagalan, dan dengan kebijaksanaan tanpa batas yang sanggup dikongsikan bersama saya.

Hidup bersahabat menyebabkan saya mempertimbangkan arah yang lain. Adakah Tuhan benar-benar wujud?

Selepas setahun setengah menyelidiki bukti kewujudan Tuhan, saya meminta-Nya untuk masuk ke dalam hidup saya.

Alkitab menggambarkan apa yang saya temui sebagai benar. "...Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru."2

Ini menyebut tentang Kristus, kerana Yesus Kristus yang membawa perubahan ini. Yesus berkata, "Aku datang supaya manusia mempunyai hidup bahkan mempunyai hidup yang berlimpah-limpah"3

Paling mengejutkan, apabila saya membaca injil tentang kehidupan Yesus, saya perhatikan betapa kerap dan betapa terperincinya Dia menerangkan kasih-Nya kepada kita.

Apa yang bermula sebagai usaha intelektual menjadi kesedaran yang sangat peribadi bahawa Tuhan jauh melebihi apa yang saya dapat jangkakan. Saya mendapati bahawa kasih Tuhan tidak berdasarkan "jika kita akan.…" atau "apabila kita akan..." Ia tidak bergantung kepada tindakan kita atau sama ada kita layak mendapat kasih Tuhan. Kita tidak layak. Dia menngasihi kita kerana itu adalah sifat Tuhan untuk mengasihi.

Daud berkata dalam Mazmur, "Kerana kasih-Mu lebih bernilai daripada nyawa…"4 dan "Kerana pada-Mu pancuran hidup; dalam cahaya-Mu kami melihat cahaya."5

Apabila kita memulakan hubungan peribadi dengan Tuhan, hidup mula menjadi masuk akal.

Bolehkah Tuhan mengubah hidup anda? Ya.

Berikut adalah beberapa contoh orang yang telah menulis di laman web kami:

- Saya sangat suka bahawa saya boleh mempercayai Tuhan.

- Sekarang saya berada di dalam hubungan dengan Tuhan. Benar bahawa kita direka untuk berada dalam hubungan dengan-Nya. Saya berasa Lengkap.

- Terima kasih kerana membuka mata dan hati saya tentang bagaimana saya boleh mempunyai hubungan dengan Tuhan.

- Saya adalah seorang ateis dan tidak mengenal Kristus sehinggalah kira-kira 6 minggu yang lalu. Hubungan saya dengan Dia adalah luar biasa dan semakin bertumbuh. Banyak beban saya yang telag dibebaskan dan saya tidak pernah lebih bahagia dalam hidup saya, kerana Tuhan itu setia dan terus membuktikan kasih-Nya kepada saya.

- Saya berterima kasih kepada anda dalam banyak perkara kerana membantu saya menemui Tuhan--laman web anda telah membantu memulakan pencarian saya untuk mengenal Tuhan, walaupun saya tahu bahawa Tuhan yang mencari saya.

- Saya perlahan-lahan belajar tentang Yesus yang luar biasa ini, Tuhan kita, Juruselamat kita. Saya mesti katakan saya terpesona dengan Tuhan kita. Dia luar biasa. Saya semakin mengenal-Nya dengan lebih mudah, teruja untuk membaca kitab Yohanes. Saya bangga menjadi pengikut Yesus Kristus.

- Terima kasih kerana membantu saya menemui Tuhan dan diri saya sendiri.

- Sekarang saya tahu bahawa saya boleh pergi kepada Tuhan dengan perasaan yang buruk. Saya tidak selalu perlu menanganinya sendiri, atau bercakap dengan seseorang mengenainya, atau minum alkohol untuk mengatasinya. Saya boleh pergi kepada Tuhan dengannya.

Jadi bagaimana ini berlaku? Dan bolehkah ia berlaku untuk anda?

Tuhan boleh mengubah hidup anda. Dia tidak akan membuatnya bebas masalah. Anda masih akan menghadapi cabaran perhubungan, mungkin masalah kewangan, dll. Anda masih akan menjadi manusia, hidup di dunia kita. Dan ia jauh dari sempurna.

Namun, Yesus berkata, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup."6 Kita tidak menjalani hidup secara buta. Dia membimbing kita.

Dia menenangkan ketakutan kita. Tidak kira apa yang berlaku, Tuhan boleh dipercayai. Yesus berkata, "Damai sejahtera-Ku Aku berikan kepadamu, bukan seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu. Bersukacitalah. Aku telah mengalahkan dunia." Dia lebih kuat daripada mana-mana masalah, berjalan bersama anda melaluinya, sebagai kawan terdekat anda.

Dia mengubah bahagian-bahagian dalam hidup kita yang kita tidak boleh kita ubahkan. Alkitab mengatakan bahawa ada bahagian dalam hidup kita yang memperhambakan kita, yang menetapkan kita.

Kita mungkin tidak mahu marah, namun kita kehilangan kesabaran. Kita mungkin ingin menjadi murah hati, namun ia kelihatan sukar untuk meletakkan orang lain di hadapan keperluan dan keinginan kita sendiri. Walaupun apabila kita ingin bebas, kita bergelut dengan kebencian terhadap orang lain atau terhadap diri kita sendiri, dan kita seakan tidak boleh melepaskannya.

Yesus berkata bahawa apabila kita mengenal-Nya, "Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu."7 Dia mengubah cara kita melihat hidup, bagaimana kita berfikir mengenai orang lain, bagaimana kita melihat diri kita sendiri. Tuhan itu luar biasa dan lebih nyata daripada apa yang mungkin anda bayangkan sekarang.

Adakah anda ingin mengenal Tuhan dengan cara ini?

Tuhan mempunyai kasih yang tulen untuk kita sehingga Dia sendiri menyediakan cara untuk kita mendekat kepada-Nya. Apa yang menghalang orang dari berhubung dengan Tuhan adalah dosa kita (fikiran atau tindakan kita yang Tuhan lihat sebagai salah). Jika anda pernah tertanya-tanya mengapa doa anda kelihatannya seperti tidak ke mana-mana, hal ini mungkin penyebabnya. Dosa kita memisahkan kita daripada Tuhan, yang suci.

Akibat dosa adalah maut. Itu bermakna dipisahkan selama-lamanya daripada Tuhan oleh kerana dosa kita. Oleh kerana kasih-Nya kepada kita, Yesus Kristus, Anak Tuhan, mati bagi pihak kita. Yesus mengambil semua dosa kita di bahu-Nya sementara Dia rela mati di salib.

"Tuhan telah menunjukkan kasih-Nya sendiri terhadap kita dengan demikian: Ketika kita masih berdosa, Kristus telah mati untuk kita."8 JYesus melakukan hal ini bagi kita agar kita dapat diampuni sepenuhnya…selama-lamanya. Dinding dosa yang memisahkan kita daripada Tuhan kini telah lenyap.

Hubungan dengan Tuhan ditawarkan kepada semua yang mahu percaya kepada Yesus, yang mahu menerima tawaran pengampunan Tuhan.

Ini menjadi hubungan dua hala, sebuah interaksi nyata dengan Tuhan.

Agama sering menetapkan senario satu hala di mana anda berusaha, anda menyembah Tuhan, anda melakukan ritual-ritual, anda mematuhi peraturan-peraturan, anda membuktikan pengabdian anda kepada Tuhan. Ia adalah kewajipan, tetapi tidak ada hubungan.

Sebaliknya, Alkitab dengan jelas mempersembahkan Tuhan sebagai menyambut, sebagai menginginkan untuk memimpin anda ke dalam kehidupan nyata yang Dia ciptakan untuk anda, sementara Dia membimbing anda secara intim. Dia mengundang kita untuk mengenal-Nya dan mempercayai-Nya.

Orang membayar banyak wang untuk "jurulatih kehidupan." Ini adalah seseorang yang mengenali kehidupan seseorang, jadual, hubungan, keputusan, dan berusaha untuk membimbing orang tersebut kepada hidup lebih produktif dan kepuasan hidup.

Tuhan mengetahui kita lebih baik daripada seorang jurulatih kehidupan. Dia mengetahui masa lalu, masa kini dan masa depan kita. Dia sangat dalam menyedari setiap hubungan yang kita pernah ada, dan kesannya dalam kehidupan kita. Dia tahu mengapa Dia menciptakan kita, keperluan kita, bahagian yang membebani kita, aspek-aspek dalam hidup kita yang kita berharap dapat ubah, tetapi tidak boleh.

Agamalah yang menciptakan tuntutan. Yesus ingin memimpin kita ke dalam kebebasan. Dia berkata, "Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati. Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu."9 Bebas daripada apa? Daripada kebimbangan, kekurangan tujuan, ketakutan, kebencian, tabiat-tabiat yang merosakkan.

Sebaliknya daripada kewajipan-kewajipan keagamaan, Yesus memimpin kita ke dalam rehat yang memberikan kehidupan. Yesus berkata, "Marilah ke sisi-Ku, wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan...terimalah ajaran-Ku...maka jiwamu akan tenang."10

Hidup ini adalah tidak mudah! Tetapi di tengah-tengah kebimbangan kita, ada Tuhan yang kuat yang anda boleh kenali, yang dapat memberikan hati anda ketenangan dan kekuatan kepada hidup anda, melebihi apa yang anda boleh kumpulkan sendiri.

Kemudian, ketika anda berbicara kepada-Nya dan mempercayai-Nya, sering kali anda akan melihat bahawa Dia mendengarkan anda. Hal ni tidak bermakna bahawa kita menentukan kepada Tuhan dan Dia melakukan apa sahaja yang kita kehendaki. Namun, kita boleh mengetahui bahawa Dia sangat menyedari kita dan mampu menjaga kita yang mempercayai-Nya. Tuhan akan merespon dengan tindakan dalam situasi dengan bijaksana dan cara penuh kasih. Ketika anda semakin mengenal Tuhan, iman anda kepada-Nya akan bertumbuh.

Yesus berkata, "Aku akan menunjukkan kepadamu keadaan orang yang datang kepada-Ku dan mendengar serta menurut kata-kata-Ku. Dia umpama seorang yang membina rumah. Dia menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah itu di atas batu. Apabila banjir berlaku, arus dari sungai akan melanda rumah itu tetapi tidak dapat menggoncangkannya kerana rumah itu didirikan dengan kukuh."11

Hubungan dengan-Nya sangat berharga.

Apabila kita meminta Yesus masuk ke dalam hidup kita, kita menerima pengampunan-Nya dan kita memulakan hubungan dengan-Nya yang kekal selama-lamanya. Yesus mengundang kita kepada hubungan dengan diri-Nya dengan cara ini. Dia berkata, "Aku berdiri di hadapan pintu sambil mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya."12

Jika anda ingin melakukan hal ini, tetapi tidak pasti bagaimana untuk mengungkapkannya dengan kata-kata, hal ini mungkin dapat membantu: "Yesus, terima kasih kerana mati untuk dosa-dosa saya. Engkau mengetahui kehidupan saya dan bahawa saya perlu diampuni. Saya meminta Engkau mengampuni saya sekarang dan masuk ke dalam hidup saya. Saya ingin mengenal Engkau dengan cara yang benar. Masuklah ke dalam hidup saya sekarang. Terima kasih kerana Engkau mahu mempunyai hubungan dengan saya. Amin."

Tuhan melihat hubungan anda dengan-Nya sebagai kekal. Merujuk kepada semua yang percaya kepada-Nya, Yesus Kristus berkata tentang kita, "Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku. Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.”13

 Saya baru sahaja menerima Yesus dalam hidup saya (maklumat berguna berikut)…
 Bagaimana memulakan hubungan dengan Tuhan
 Saya mempunyai soalan…

Nota Kaki: (1) J.I. Packer; Mengenal Tuhan; InterVarsity Press, ms. 14. (2) 2 Korintus 5:17 (3) Yohanes 10:10 (4) Mazmur 63:3 (5) Mazmur 36:9 (6) Yohanes 8:12 (7) Yohanes 8:32 (8) Roma 5:8 (9) Yohanes 8:31,32 (10) Matius 11:28,29 (11) Lukas 6:47,48 (12) Wahyu 3:20 (13) Yohanes 10:27-28


KONGSI HALAMAN INI
WhatsApp Facebook Twitter Email