Oleh Marilyn Adamson
Tidakkah anda ingin seseorang menunjukkan bukti kewujudan Tuhan kepada anda? Tanpa paksaan. Tanpa pernyataan, "Anda hanya perlu percaya." Artikel ini merupakan satu percubaan jujur untuk menawarkan beberapa sebab yang menunjukkan bahawa Tuhan wujud.
Namun begitu, pertama sekali, pertimbangkan ini. Berkaitan kemungkinan sama ada Tuhun wujud, Alkitab menyatakan bahwa ada orang yang telah melihat bukti yang secukupnya, tetapi mereka telah menafikan kebenaran tentang Tuhan.1 Di samping itu, bagi mereka yang ingin mengenal kewujudan Tuhan, Dia berkata, "Kamu akan mencari Aku dan menemukan Aku; Apabila kamu mencari Aku dengan segenap hatimu, Aku akan kautemukan."2
Sebelum anda melihat fakta-fakta berkisar tentang kewujudan-Nya, tanyakan pada diri sendiri, “Jika Tuhan benar-benar wujud, adakah saya ingin mengenali-Nya?” Berikut ialah beberapa sebab untuk dipertimbangkan.
Banyak contoh yang menunjukkan reka bentuk Tuhan yang boleh diberikan adalah tanpa penghujungnya. Berikut ialah beberapa contoh :
Bumi...saiznya adalah sempurna. Saiz bumi dan graviti yang sepadan mengekalkan lapisan nipis gas nitrogen dan oksigen, hanya seluas kira-kira 50 batu daripada permukaan bumi. Jika bumi lebih kecil, atmosfera akan menjadi mustahil, seperti planet Merkuri. Jika bumi lebih besar, atmosferanya akan mengandungi hidrogen bebas, seperti Jupiter.3 Bumi adalah satu-satunya planet yang diketahui yang dilengkapi dengan atmosfera campuran gas yang betul untuk mengekalkan hidup tumbuhan, haiwan dan manusia.
Bumi terletak pada jarak yang betul dari Matahari. Bayangkan pintu depan sebuah rumah biasa. Jika Matahari berada di bahagian atas bingkai pintu, bumi adalah seperti wang syiling kecil yang duduk di bahagian bawah bingkai pintu.4
Bayangkan ayunan suhu yang kita alami, kira-kira -30 darjah hingga +120 darjah. Jika bumi lebih jauh dari matahari, kita akan membeku. Jika lebih dekat, kita akan hangus. Sekalipun perbezaan fraksional dalam kedudukan bumi ke matahari akan menjadikan kehidupan di bumi mustahil.
Bumi tetap pada jarak yang sempurna dari matahari sementara bumi berputar mengelilingi matahari pada kelajuan hampir 67,000 batu sejam. Bumi juga berputar pada paksinya, membolehkan seluruh permukaan bumi dipanaskan dan menjadi sejuk dengan baik setiap hari.
Selain itu, bulan kita mempunyai saiz dan jaraknya daripada tarikan graviti bumi yang sempurna. Bulan mencipta pasang surut laut dan pergerakan air yang penting agar air laut tidak bertakung, malah lautan kita terkawal daripada melimpah ke seluruh benua.5
Air...tanpa warna, tanpa bau dan tanpa rasa, namun tiada makhluk yang boleh hidup tanpanya. Tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia kebanyakannya terdiri daripada air (kira-kira dua pertiga badan manusia ialah air). Anda akan melihat sebab-sebab ciri-ciri air sangat sesuai untuk kehidupan:
Air mempunyai margin yang luas antara takat didih dan takat beku. Air membolehkan kita hidup dalam persekitaran yang mengalami suhu yang berubah-ubah sementara menjaga badan kita pada suhu tetap 98.6 darjah.
Air ialah pelarut universal yang membolehkan pelbagai bahan kimia, mineral dan nutrien larut dengan mudah dan dibawa ke seluruh badan kita dan ke dalam pembuluh darah terkecil.6
Air adalah neutral dari segi kimia. Tanpa mempengaruhi susunan bahan yang dibawa, air membolehkan makanan, ubat-ubatan dan mineral diserap dan digunakan oleh badan.
Air mempunyai tegangan permukaan yang unik. Air dalam tumbuh-tumbuhan boleh mengalir ke atas menentang daya graviti, membawa air yang memberi kehidupan dan nutrien ke puncak pokok yang paling tinggi.
Air membeku dari atas ke bawah dan terapung supaya ikan boleh hidup pada musim sejuk.
Sembilan puluh tujuh peratus air di bumi terdapat di lautan. Namun begitu, di bumi kita, terdapat satu sistem yang mengeluarkan garam daripada air dan kemudian mengagihkan air tersebut ke seluruh dunia. Penyulingan mengambil air laut, meninggalkan garam, dan membentuk awan yang mudah dipindahkan oleh angin untuk menyebarkan air ke daratan, untuk tumbuhan, haiwan dan manusia. Sistem ini ialah sistem penyucian dan bekalan yang mengekalkan kehidupan di planet ini dan merupakan satu sistem air yang dikitar semula dan digunakan semula.7
Otak manusia...secara serentak memproses jumlah maklumat yang menakjubkan. Otak anda merakamkan semua warna dan objek yang anda lihat, suhu di sekeliling anda, tekanan kaki anda ke atas lantai, bunyi di sekeliling anda, kekeringan mulut anda, tekstur peranti mudah alih anda. Otak anda menyimpan dan memproses semua emosi, pemikiran, dan ingatan anda. Pada masa yang sama, otak anda mengawasi fungsi berterusan badan anda seperti corak pernafasan anda, pergerakan kelopak mata, rasa lapar, dan pergerakan otot tangan anda.
Otak manusia memproses lebih daripada sejuta mesej setiap saat.8 Otak anda menimbang kepentingan semua data ini, menapis data yang tidak begitu penting. Fungsi penapisan ini membolehkan anda berfokus dan beroperasi dengan efektif di dunia anda. Otak berfungsi berbeza daripada organ lain. Ada unsur kepintaran dalamnya, kemampuan untuk menaakul, menghasilkan perasaan, bermimpi dan merancang, bertindak, dan berhubung dengan orang lain.
Mata...boleh membezakan antara tujuh juta warna. Mata mempunyai penumpuan automatik dan mengendalikan 1.5 juta mesej secara serentak.9 Evolusi memberi tumpuan kepada mutasi dan perubahan daripada dan dalam organisma yang sedia ada. Namun evolusi sendiri tidak dapat menjelaskan sepenuhnya punca asal mata atau otak -- permulaan organisma hidup daripada jasad tak bernyawa.
Saintis yakin bahawa alam semesta kita bermula dengan satu letupan besar tenaga dan cahaya, yang kini kita panggil sebagai ‘Big Bang’. Ini adalah permulaan tunggal untuk segala yang wujud: permulaan alam semesta, permulaan ruang malah permulaan asal masa.
Ahli astrofizik Robert Jastrow, seorang yang mengakui dirinya agnostik, menyatakan, "Benih segala yang telah berlaku di Alam Semesta ditanam pada saat pertama itu; setiap bintang, setiap planet dan setiap makhluk hidup di Alam Semesta muncul sebagai hasil peristiwa yang dimulakan pada saat letupan kosmik...Alam Semesta muncul secara tiba-tiba, dan kita tidak dapat mengetahui sebab yang mengakibatkan itu berlaku."10
Steven Weinberg, seorang pemenang Nobel bidang Fizik, berkata pada saat letupan ini, "alam semesta berada pada suhu kira-kira seratus ribu juta darjah Celsius…dan alam semesta dipenuhi dengan cahaya."11
Alam semesta tidak selalunya wujud. Alam semesta mempunyai satu permulaan…apa yang menyebabkannya? Saintis tidak mempunyai penjelasan untuk letupan cahaya dan jirim secara tiba-tiba.
Kebanyakan kehidupan mungkin kelihatan tidak tentu, tetapi lihatlah apa-apa yang boleh kita harapkan hari demi hari: graviti kekal konsisten, secawan kopi panas yang ditinggalkan di atas meja akan menjadi sejuk, bumi berputar dalam masa yang sama 24 jam, dan kelajuan cahaya tidak berubah - di bumi atau di galaksi yang jauh daripada kita.
Semua sains - biologi molekul, kimia, fizik, astronomi, dan sebagainya - bergantung pada hukum alam semulajadi yang konsisten.
Dr. Emily Baldwin berpendapat bahawa "Satu nombor yang paling penting dalam fizik, nisbah proton-elektron, adalah sama di galaksi yang berjarak enam bilion tahun cahaya mahupun di sini, di Bumi…"12
Bagaimanakah kita dapat mengenal pasti hukum alam semulajadi yang tidak pernah berubah? Mengapa alam semesta begitu teratur dan boleh dipercayai?
"Ahli sains yang teragung telah terkesan dengan betapa anehnya ini. Tidak ada keperluan logik bagi sebuah alam semesta yang mematuhi peraturan, apatah lagi yang mengikut peraturan matematik. Kekaguman ini timbul daripada pengakuan bahawa alam semesta tidak perlu berkelakuan sedemikian. Adalah mudah untuk membayangkan sebuah alam semesta yang keadaannya berubah serta-merta secara tidak terduga, malah sebuah alam semesta yang benda-bendanya muncul dan lenyap."13
Ahli fizik Paul C. Davies berkomen, "...untuk menjadi seorang saintis, anda perlu mempunyai keyakinan bahawa alam semesta diperintah oleh hukum matematik yang boleh dipercayai, tidak berubah, mutlak, universal…"14
Kemampuan kita untuk menemui, menyelesaikan masalah, mencipta adalah dimungkinkan oleh hukum alam semesta yang teratur dan yang tidak pernah berubah serta boleh diukur dengan tepat.
Richard Feynman, seorang Pemenang Hadiah Nobel untuk elektrodinamik kuantum, berkata, "Mengapa alam bersifat matematik ialah suatu misteri...Fakta bahawa terdapat peraturan ialah sesuatu keajaiban."15
Semua arahan, pengajaran dan latihan mengandungi niat. Seseorang yang menulis manual arahan berbuat demikian dengan tujuan. Tahukah anda bahawa di setiap sel tubuh kita terdapat kod arahan yang sangat terperinci, sama seperti program komputer mini?
Tiada program tanpa pereka.
Seperti yang mungkin anda tahu, satu program komputer terdiri daripada satu dan sifar, seperti ini: 110010101011000. Cara mereka diatur memberitahu program komputer perkara yang perlu dilakukan. Kod DNA di setiap sel kita sangat serupa. Kod DNA terdiri daripada empat unit kimia, yang dikenal sebagai asas nukleotida, yang saintis singkatkan sebagai A, T, G, dan C. Ini disusun dalam sel manusia seperti ini: CGTGTGACTCGCTCCTGAT dan seterusnya. Terdapat tiga bilion pasangan huruf ini dalam setiap sel manusia.16
(Baiklah). Sama seperti anda boleh memprogram telefon anda untuk berbunyi atas sebab-sebab tertentu, DNA memberi arahan kepada sel. DNA ialah program yang rumit, tersusun yang memberi arahan kepada sel untuk bertindak dengan cara tertentu. DNA ialah manual arahan yang lengkap.17
Mengapa ini begitu menakjubkan? Seseorang harus bertanya.… bagaimana program maklumat ini berada dalam setiap sel manusia? Ini bukan hanya bahan kimia. Ini ialah bahan kimia yang memberi arahan, yang menyusun dengan cara yang sangat terperinci sebagaimana tubuh seseorang harus berfungsi.
Penyebab semula jadi secara biologi benar-benar tidak mencukupi sebagai penjelasan apabila melibatkan maklumat yang diprogramkan. Anda tidak dapat mencari arahan, maklumat yang tepat seperti ini, tanpa seseorang yang sengaja membinanya.
Dulu, saya seorang ateis. Seperti ramai ateis, isu orang ramai percaya kepada Tuhan amat mengganggu saya. Apa sebabnya ateis-ateis seperti kiat akan menghabiskan begitu banyak masa, perhatian, dan tenaga menolak sesuatu yang kita tidak percaya wujud?
Ketika saya ialah seorang ateis, saya mengaitkan niat saya yang prihatin terhadap orang yang miskin, yang berkhayal … untuk membantu mereka menyedari bahawa harapan mereka benar-benar tidak berasas. Secara jujur, saya juga mempunyai motif lain. Ketika saya mencabar mereka yang percaya kepada Tuhan, saya ingin tahu sama ada mereka dapat memujuk saya atau tidak. Sebahagian daripada usaha saya adalah untuk bebas daripada persoalan Tuhan. Jika saya dapat membuktikan kepada orang yang percaya kepada Tuhan bahawa mereka adalah salah, maka isu ini akan diselesaikan, dan saya akan bebas untuk menjalani kehidupan saya.
Saya tidak sedar akan sebab persoalan mengenai Tuhan begitu penting dalam fikiran saya, adalah kerana Tuhan mendesak isu tersebut. Saya telah mengetahui bahawa Tuhan ingin dikenali. Dia mencipta kita dengan niat supaya kita dapat mengenali-Nya. Dia telah menyelubungi kita dengan bukti tentang diri-Nya dan Dia menjadikan persoalan tentang kewujudan-Nya di depan kita.
Kelihatan seolah-olah saya tidak dapat mengelak daripada memikirkan kemungkinan Tuhan. Malah, pada hari saya memilih untuk mengakui kewujudan Tuhan, doa saya bermula dengan, "Ok, Engkau menang…" Mungkin sebab utama ateis diganggu oleh orang yang percaya kepada Tuhan adalah kerana Tuhan sedang aktif mengejar mereka.
Saya bukanlah satu-satunya yang mengalami ini. Malcolm Muggeridge, sosialis dan pengarang falsafah telah menulis bahawa "Saya mempunyai pandangan bahawa dengan cara tertentu, selain menyoal, saya sedang dikejar." C.S. Lewis berkata bahawa dia ingat, "…malam demi malam, apabila fikiran saya terlepas biarpunn untuk satu saat daripada kerja, saya dapat merasakan kedatangan yang mantap dan tak kenal lelah daripada Dia yang saya bersungguh-sungguh tidak mahu bertemu. Saya menyerah, dan mengakui Tuhan, serta bersujud dan berdoa: mungkin, pada malam itu, penukar iman yang paling sedih dan tidak sudi di seluruh England."
Selepas itu, Lewis menulis sebuah buku berjudul, "Terkejut oleh Keriangan" sebagai hasil daripada mengenali Tuhan. Saya turut tidak mempunyai jangkaan lain kecuali mengakui kewujudan Tuhan. Namun, dalam beberapa bulan berikutnya, saya terpesona dengan kasih sayang-Nya terhadap saya.
Yesus Kristus (Tuhan dalam bentuk manusia) menunjuk kepada kita belas kasihan kebenaran, dan kuasa Tuhan.
Mengapa Yesus? Lihatlah dalam agama-agama besar di dunia dan anda akan dapati bahawa Buddha, Muhammad, Confucius, dan Musa mengenal pasti diri mereka sebagai guru atau nabi. Tidak seorang pun daripada mereka pernah mengaku dirinya setaraf dengan Tuhan. Yang menghairankan, Yesus mengakuinya. Itulah yang membezakan Yesus daripada yang lain. Dia berkata Tuhan wujud dan anda sedang melihatnya.
Walaupun Dia bercakap tentang Bapa-Nya di syurga, itu bukanlah dari aspek perpisahan, tetapi penyatuan yang erat dan unik kepada seluruh umat manusia. Yesus berkata bahawa sesiapa yang telah melihat Dia telah melihat Bapa, sesiapa yang percaya kepada-Nya, percaya kepada Bapa.
Dia berkata, "Akulah terang dunia, barangsiapa mengikut Aku, ia tidak akan berjalan dalam kegelapan, melainkan dia akan mempunyai terang hidup."18 Dia mengaku sifat-sifat yang hanya dimiliki oleh Tuhan: dapat mengampuni dosa manusia, membebaskan mereka daripada tabiat suka berdosa, memberikan mereka kehidupan yang melimpah dan kehidupan abadi di syurga.
Berbeza dengan guru-guru lain yang berfokus pada kata-kata orang, Yesus menunjuk dirinya kepada manusia. Dia tidak berkata, "Ikutlah kata-kataku dan anda dapat mencari kebenaran." Dia berkata, "Akulah jalan dan kebenaran dan hidup, tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa kalau tidak melalui Aku."19
Apakah bukti yang diberikan Yesus untuk menuntut dirinya Ilahi? Dia melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan oleh manusia lain. Yesus melakukan mukjizat. Dia menyembuhkan orang...buta, lumpuh, pekak, bahkan membangkitkan beberapa orang daripada maut. Dia memiliki kuasa atas objek...mencipta makanan daripada udara, cukup untuk memberi makan kepada orang ramai sebanyak beberapa ribu orang.
Dia melakukan mukjizat atas alam...berjalan di atas danau, memerintah badai ganas untuk berhenti bagi beberapa orang kawan. Orang dari setiap tempat mengikuti Yesus, kerana Dia sentiasa memenuhi keperluan mereka, melakukan yang ajaib. Dia berkata jika anda tidak mahu mempercayai apa yang saya katakan kepada anda, anda sekurang-kurangnya harus percaya kepada saya berdasarkan mukjizat yang anda lihat.20
Yesus Kristus menunjukkan Tuhan sebagai lemah lembut, penuh kasih sayang, peka terhadap keserakahan dan kekurangan kita, malah sangat ingin menjalin hubungan dengan kita. Jesus mendedahkan bahawa walaupun Dia memandang kita sebagai orang yang berdosa, layak menerima hukuman-Nya, tetapi kasih sayang-Nya kepada kita memerintah dan Dia datang dengan satu rancangan yang berbeza.
Tuhan sendiri mengambil bentuk manusia dan menerima hukuman bagi dosa kita. Kelihatan gila? Mungkin, tetapi ramai bapa yang penuh kasih dengan senang hati akan bergadai tempat dengan anak mereka di wad kanser jika mereka boleh. Alkitab mengatakan bahawa sebab kita mengasihi Tuhan adalah kerana Dia terlebih dahulu mengasihi kita.
Jesus mati sebagai gantian kita agar kita dapat diampuni. Daripada semua agama yang dikenali oleh manusia, hanya melalui Yesus, anda akan melihat Tuhan mendekati manusia, menyediakan jalan bagi kita untuk menjalin hubungan dengan-Nya. Yesus membuktikan hati Ilahi yang penuh kasih, memenuhi keperluan kita, menarik kita kepada-Nya.
Oleh sebab kematian dan kebangkitan Yesus, Dia menawarkan kita kehidupan baharu hari ini. Kita boleh diampuni, diterima oleh Tuhan sepenuhnya, dan benar-benar dikasihi oleh Tuhan. Dia berkata, "Aku telah mengasihi kamu dengan kasih yang abadi, oleh itu Aku telah mengekalkan kesetiaan-Ku kepada kamu."21 Inilah Tuhan, dalam tindakan-Nya.
Adakah Tuhan wujud? Jika anda ingin tahu, kaji Yesus Kristus. Kita diberitahu bahawa "Kerana begitu besar kasih Allh akan dunia ini, sehingga Dia telah mengurniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal.”22
Tuhan tidak memaksa kita untuk percaya kepada-Nya, walaupun Dia boleh. Sebaliknya, Dia telah menyediakan bukti yang mencukupi tentang kewujudan-Nya supaya kita akan membalas-Nya. Jarak bumi dari matahari yang sempurna, sifat unik air, otak manusia, DNA, jumlah orang yang mengaku diri mengenal Tuhan, rasa resah di hati dan fikiran kita untuk menentukan jika Tuhan ada di situ, keinginan Tuhan untuk dikenali melalui Jesus Kristus. Jika anda memerlukan maklumat lanjut tentang Yesus dan sebab-sebab untuk percaya kepada-Nya, sila rujuk: Mengapa Jesus ialah Tuhan.
Ini ialah keputusan anda, tiada paksaan di sini. Namun begitu, jika anda ingin diampuni oleh Tuhan dan mengadakan hubungan dengan-Nya, anda boleh melakukannya sekarang dengan meminta-Nya mengampuni anda dan memasuki hidup anda. (Yesus berkata, "Lihatlah, Aku seperti berdiri di depan pintu rumah [hati kamu] dan mengetuknya. Barangsiapa yang mendengar suara_Ku dan membuka pintu hatinya, Aku akan masuk ke dalamnya."23
Jika anda ingin melakukannya, tetapi tidak pasti bagaimana untuk meluahkan kata-kata, ini mungkin dapat membantu anda : "Yesus, terima kasih kerana mati untuk dosa-dosaku. Engkau tahu kehidupan saya dan tahu bahawa saya perlu diampuni. Saya meminta Engkau mengampuni saya sekarang dan masuk ke dalam hidup saya. Saya ingin mengenali-Mu dengan cara yang benar. Masuklah ke dalam hidup saya sekarang. Terima kasih kerana Engkau ingin berhubungan dengan saya. Amin."
Tuhan memandang hubungan anda dengan-Nya sebagai kekal. Merujuk kepada semua orang yang percaya kepada-Nya, Yesus Kristus berkata tentang kita, "Aku mengenal mereka, dan mereka mengikut aku; dan Aku memberikan mereka hidup yang kekal, dan mereka tidak akan binasa selama-lamanya, dan tidak ada seorang pun yang dapat merampas mereka daripada tangan-Ku."24
Mengambil kira semua fakta ini, seseorang boleh membuat kesimpulan bahawa Tuhan yang penuh kasih sayang benar-benar wujud dan boleh dikenali dengan cara yang intim dan peribadi.
► | Saya baru sahaja menerima Yesus dalam hidup saya (maklumat berguna berikut)… |
► | Bagaimana memulakan hubungan dengan Tuhan |
► | Saya mempunyai soalan… |
Nota Kaki: (1) Roma 1:19-21 (2) Yeremia 29:13-14 (3) R.E.D. Clark, Creation (London: Tyndale Press, 1946), m/s. 20 (4) https://solarsystem.nasa.gov/solar-system/sun/overview/ (5) The Wonders of God's Creation, Moody Institute of Science (Chicago, IL) (6) Ibid. (7) Ibid. (8) Ibid. (9) Hugh Davson, Physiology of the Eye, 5th ed (New York: McGraw Hill, 1991) (10) Robert Jastrow; "Message from Professor Robert Jastrow"; LeaderU.com; 2002. (11) Steven Weinberg; The First Three Minutes: A Modern View of the Origin of the Universe; (Basic Books,1988); m/s 5. (12) Dr. Emily Baldwin; "Earth's Laws Still Apply in Distant Universe"; AstronomyNow.com; Jun, 2008. (13) Dinesh D'Souza, What's So Great about Christianity; (Regnery Publishing, Inc, 2007, bab 11). (14) Paul C. Davies, ahli fizik, kosmolog, astrobiolog di Universiti Negeri Arizona; dikutip dalam edge.org/conversation/taking-science-on-faith (15) Richard Feynman, The Meaning of It All: Thoughts of a Citizen-Scientist (New York: BasicBooks, 1998), 43. (16) https://www.genome.gov/human-genome-project/Completion-FAQ (17) Francis S. Collins, pengarah Projek Genom Manusia, dan pengarang The Language of God, (Free Press, New York, NY), 2006 (18) Yohanes 8:12 (19) Yohanes 14:6 (20) Yohanes 14:11 (21) Yeremia 31:3 (22) Yohanes 3:16 (23) Wahyu 3:20 (24) Yohanes 10:27-29